Biografi Ngah Jabor

Hubungan dengan Sultan Perak

Raja Idris dan Ngah Jabor mempunyai hubungan kekeluargaan sebagai saudara sesusu kerana semasa kecil Raja Idris disusui oleh ibu Ngah Jabor iaitu Uda Punta, dan menjadi amalan biasa bagi keluarga DiRaja menyusukan anaknya kepada orang lain terutama dari golongan orang-orang kenamaan.[3]

Hubungan dengan Dato Maharaja Lela

Dalam buku Orang Biasa Diraja, Hayat dan Zaman Imam Perang Jabor (1858-1921) – tulisan Hashim Sam yang diterbitkan oleh Persatuan Sejarah Malaysia dan diterjemah ke dalam bahasa Inggeris oleh Perpustakaan Negara Malaysia, iaitu The Royal Commener; The Life and Times of Imam Perang Jabor, (1858-1921) ada dimuatkan salasilah yang menunjukkan hubungan antara Pandak Lam (Dato Maharaja Lela) dengan Ngah Jabor. Mengikut catatan sejarawan Prof C.N Parkinson, Ngah Jabor adalah adik kepada Pandak Lam manakala sejarawan Buyong Adil menyebut bahawa Ngah Jabor bersaudara dengan Pandak Lam. Kedua-dua nama itu berhubung dengan satu lagi nama iaitu Zainal Abidin yang ditunjukkan dalam carta salasilah sebagai ayahanda kepada Pandak Lam dan Ngah Jabor.[4]

Dalam satu salasilah lain, hubungan antara Pandak Lam dan Jabor ditunjukkan dengan tidak menghubungkan keduanya kepada satu nama yang sama (maksudnya ayah yang sama). Pandak Lam tidak ditunjukkan hubungan keatas (tidak diketahui ayahnya) manakala Jabor ditunjukkan hubungan ke atas iaitu ayahandanya bernama Bardot. Tetapi kedua-dua nama itu berasal dari akar yang sama iaitu bertemu di moyang mereka yakni Daeng Selili yang menunjukkan hubungan mereka dalam satu keluarga Bugis yang besar. Salasilah yang dinyatakan oleh Parkinson dan Buyong Adil nampaknya bercanggah dengan salasilah yang direkod oleh sejarawan Fawzi Basri dalam karyanya yang bertajuk Cempaka Sari. Dalam buku itu disebut bahawa ayahanda Pandak Lam bernama Maulud / Tok Maulud / Anjang Osman (c.1805 - d.).[5] Manakala yang bernama Zainal itu ialah ayahanda kepada Maulud.[perlu rujukan] Dalam sumber yang lain, ayah Tok Maulud ialah Alang Rastam (c.1790 - d.).[6]

Selain itu, bekas Ketua Polis Negara Malaysia iaitu Tun Haniff Omar juga merupakan cucu kepada Ngah Jabor.[7][8]